Menghargai kerjaya jururawat
Ada sesetengah orang menganggap bahawa profesion sebagai jururawat ibarat ‘pembantu rumah’ yang menguruskan segala keperluan pesakit selain memastikan segala-galanya terjaga rapi.
Bahkan tidak semua orang mampu melaksanakan tugas seperti mana dilakukan oleh jururawat. Kerana itu juga, memilih untuk menjadi seorang jururawat bukanlah cita-cita yang diimpikan oleh semua orang.
Tidak dinafikan, kerjaya sebagai jururawat memerlukan pengorbanan tinggi selain kesabaran menghadapi pelbagai ragam serta kerenah pesakit dan itu adalah antara cabaran yang perlu ditangani.
Ketua Pegawai Kejururawatan KPJ Selangor Specialist Hospital (KPJ Selangor), Nor’aini Sha’arani, 55, berkata kerjaya sebagai seorang jururawat sebenarnya satu pekerjaan mulia dan perlu disanjung tinggi oleh setiap lapisan masyarakat.
“Kerjaya ini bukanlah mudah kerana jururawat adalah orang pertama yang menemui pesakit apabila datang ke klinik atau hospital.
“Mereka sebenarnya boleh diibaratkan orang kedua penting selepas doktor,” katanya pada Citra selepas perasmian sambutan Hari Jururawat 2013 peringkat hospital, di Shah Alam, baru-baru ini.
Beliau berkata, bagaimanapun sesusah-susahnya tugas seseorang jururawat itu ia adalah kerjaya mereka dengan matlamat mencurah khidmat kepada masyarakat.
“Macam mana susah sekalipun tugas itu, mereka perlu melaksanakannya demi memberikan khidmat terbaik kepada pesakit.
“Lagipun, bukan semua orang mempunyai tahap kesabaran luar biasa sebagaimana dimiliki seorang jururawat,” katanya.
Tambahnya lagi, bukan semua orang mampu mempamerkan wajah dan kata- kata yang sentiasa menjanjikan masa depan kepada pesakit, biar seteruk mana pun penyakit mereka.
Rapatkan jurang
Dalam pada itu, katanya, jururawat mestilah bersikap positif untuk merapatkan lagi jurang antara pesakit dengan pegawai perubatan agar pesakit tidak menaruh perasaan takut apabila berhadapan dengan doktor atau jururawat.
“Apabila jururawat berkhidmat dengan mesra dan sentiasa melempar senyuman, pesakit akan berasa selesa dan sebahagian daripada kesakitan dialami akan hilang,” katanya.
Beliau berpendapat, apabila jururawat mengamalkan budaya dan nilai kerja yang baik, suasana bekerja akan berubah.
“Bekerja secara berpasukan, memberi komitmen tinggi dan sentiasa bekerjasama adalah kunci kejayaan,” tegasnya.
Jelasnya, setiap jururawat perlu meningkatkan kemahiran berhubung dengan pesakit supaya mudah untuk berkomunikasi dan memahami kehendak pesakit.
“Saya selalu menasihatkan kepada jururawat agar selalu ‘dekat’ dengan pesakit. Cuba bercakap dengan pesakit. Tanya khabar mereka.
“Walaupun mereka (pesakit) sakit tetapi apabila jururawat cuba untuk menunjukkan sikap ambil berat seperti bertanya ‘Apa Khabar’, ‘Dah makan ke belum’ atau ‘Rasa sihat hari ini’ , itu pun sudah cukup memadai dan membuat mereka rasa dihargai,” jelasnya.
Terangnya lagi, berdasarkan kepada pengalamannya selama lebih 30 tahun dalam bidang kejururawatan, beliau percaya bahawa sekiranya seseorang pesakit itu tahu atau kenal nama jururawat itu, ia menandakan pesakit terbabit yakin dan percaya terhadap jururawat tersebut.
“Cara terbaik melayan pesakit adalah dengan menganggap pesakit sebagai ahli keluarga sendiri,” katanya.
Minat jadi jururawat
Nor’aini bercerita bahawa penglibatannya dalam ‘dunia’ kejururawatan adalah secara tidak sengaja apabila berasakan diri perlu ada kemahiran dalam ‘menjaga’ dan merawat.
“Pada mulanya, niat saya bukanlah hendak menjadi jururawat tetapi pekerjaan yang memerlukan lebih pengembaraan seperti Pegawai Kastam atau Pramugari.
“Tetapi niat tersebut berubah, apabila melibatkan pemergian kedua ibu bapa saya dalam usia muda,” jelasnya.
Kata anak ketiga dari lima beradik ini lagi, beliau cuba untuk membina, menanam dan memupuk minat untuk menjadi jururawat dan sehingga kini, beliau tidak pernah menyesal memilih pekerjaan ini.
Menurutnya, beliau berkhidmat di Ampang Puteri Specialist Hospital pada 1995 selama beberapa tahun sebelum berpindah ke Arab Saudi dan bekerja di enam buah hospital di sana.
“Pada 2003, saya menyertai semula KPJ Healthcare Berhad dan memulakan perkhidmatan di KPJ Selangor, kemudian ke Sentosa Medical Centre dan balik semula ke KPJ Selangor pada 2011.
“Jadi jururawat juga boleh mengembara. Bezanya, saya mengembara dari satu hospital ke hospital lain.” selorohnya.
Tambahnya lagi, beliau gembira dan puas apabila dapat melakukan apa yang diminatinya.
“Jika sudah memilih pekerjaan ini, maka lakukannya dengan cara yang paling terbaik sekali. Lakukan lebih daripada yang diminta dan jadikan hospital sebagai rumah kedua,” jelasnya.
Katanya lagi, kerjaya jururawat bukanlah satu profesion yang boleh di ‘tangkap muat’.
“Terdapat perbezaan di antara jururawat sekarang dan dahulu. Jika dahulu, kebanyakannya adalah minat dengan kerjaya ini tapi sekarang ramai yang memilih pekerjaan ini sekadar memenuhi kerjaya yang ada,” kesalnya.
Selain itu, KPJ Selangor turut meraikan lebih 300 kakitangan jururawatnya dengan pelbagai aktiviti sepanjang Mei ini sempena sambutan Hari Jururawat 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan